Thursday, April 26, 2007

Rosak Masyarakat Kelantan jika UMNO kembali memerintah

Nauzubillah...inilah yang akan terpacul di mulut setiap ahli dan penyokong PAS yang sayangkan agama jika UMNO memerintah dan masih tidak mengubah dasar sekularnya.

Malah, pada pilihanraya umum ke 11 tahun 2004 yang lepas ada yang menitiskan air mata dengan kedudukan kerusi di kelantan yang hampir-hampir tewas kepada kerajaan sekular umno. Bagaimanalah air mata tidak menitis, bagaimanalah hati tidak gelisah dan gundah jika dasar yang dilaksanakan di negeri-negeri lain akan dibawa kembali ke Serambi Mekah ini.

Para Ulama dan ustaz mula memikirkan keadaan ummah, para ibu dan bapa mula memikirkan keadaan anak-anak mereka, yang akan dihidangkan kembali dengan hidangan maksiat oleh parti yang bernama umno ini. Cukuplah tempias kemaksiatan di Kuala Lumpur dan negeri jiran yang terkena pada rakyat kelantan ini. Cukuplah penyebaran media maksiat oleh stesen Televisyen dan majalah-majalah separa lucah yang diluluskan oleh KDN. Tempias ini pun sudah meletihkan kerajaan negeri di bawah PAS untuk mentarbiyah masyarakat dan membetulkan kembali kefahaman Islam yang disesatkan oleh UMNO.

Saya quotekan tulisan Haji Annual Bakri dalam buku pendirian Tok Guru yang berbunyi

Saya menjadi tertanya-tanya hasrat pemimpin UMNO yang menjadi parti teras kepada kerajaan yang memerintah di negara ini. Lupakah kerajaan Datuk Seri Abdullah bahawa pada 5 Ogos 2004, Mufti Perak telah mengharamkan konsert SURE HEBOH. Pendirian Datuk Harusani Zakaria ini disokong oleh Persatuan Ulamak Kedah dan sebahagian daripada Mufti di seluruh Malaysia.

Dalam keadaan ditegur oleh Ulamak sejelas itupun, nampaknya kerajaan Malaysia masih dengan sikap sombong, seolah-olah peringatan mufti-mufti itu tidak ada nilai satu sen pun bagi pemimpin-pemimpin UMNO dan kerajaan malaysia.

Apa tidaknya, rakyat malaysia boleh saksikan sendiri program-program yang sangat menyuburkan nafsu, pergaulan bebas lelaki / perempuan dan unsur-unsur histeria yang cuba disuntik curi ke dalam jiwa anak-anak muda.

Tengokkan gelagat dan telatah artis-artis, saya menjadi teringat kepada tabiat arak yang baru dituang ke dalam gelas berleher panjang. Ia berbuih, berasap dan melenting, melonjak bagaikan galaknya penghibur di pentas menghibur penonton. Bagaikan arak juga, hiburan yang tidak terkawal ini boleh memabukkan penggunanya. Hiburan yang melampau akan melahirkan gejala kemabukan nafsu yang boleh mengakibatkan terbitnya rangkaian gejala sosial negatif yang lain.

Ia boleh menetas dan membentuk budaya gemar melepak, membuang masa, mencuri, bermalam di rumah kawan, merokok, menghidu gam, mengambil dadah, pil khayal, berkhalwat, berzina, merogol, meliwat, meragut, memeras ugut, menculik dan boleh sampai ke peringkat sanggup memukul, menikam, membakar dan membunuh.


WALLAHUA'LAM

No comments: